Ingatan kilat sebagai pengganti cakera keras Ingatan_kilat

Perkembangan pesat teknologi ingatan kilat telah menimbulkan kemungkinan ingatan kilat bakal menggantikan cakera keras. Ingatan kilat tidak tertakluk kepada had mekanikal sebagaimana cakera keras, maka idea untuk menggantikan cakera keras dengan ingatan kilat muncul setelah menimbangkan kelajuan, bunyi bising, penggunaan kuasa dan kebolehpercayaan.

Sungguhpun demikian, kos storan spesifik bagi ingatan kilat masih lagi lebih mahal berbanding cakera keras. Walaupun kos storan spesifik bagi ingatan kilat semakin menurun, masih kurang jelas bila kos spesifik bagi ingatan kilat dapat menandingi cakera keras.

Selain itu, kitar tulis-padam bagi ingatan kilat juga terhad berbanding cakera keras, menjadikannya kurang sesuai untuk memuatkan sebuah sistem pengendalian. Walau bagaimanapun, isu sedemikian sudah mula dapat ditangani secara beransur-ansur memandangkan tempoh waranti bagi ingatan kilat semakin menghampiri cakera keras.